Sungai Petani: Seorang lelaki berusia 20 tahun parah akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki selepas bergaduh di kedai kopi di Taman Kenari, Jalan Bakar Sampah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa dikatakan berang dengan tindakan suspek membuat bising ketika memesan air sebelum dia dan empat rakannya memarahi suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka, suspek yang didakwa membuat bising beredar dari kedai.
“Suspek menghubungi rakannya dan pada masa sama pergi membeli sebilah parang di kedai berhampiran sebelum berpatah balik bersama beberapa rakannya ke kedai itu dengan menunggang motosikal.
“Suspek dan rakannya kemudian menyerang kumpulan lelaki yang bergaduh dengannya di kedai itu, menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Seorang daripada mereka kemudian terjatuh di tepi jalan, menyebabkan dia ditetak di tangan dan kaki dengan parang oleh suspek yang kemudian melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Khalil, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Siasatan dijalankan membawa kepada penahanan suspek selain menemui motosikal dan sebilah parang dipercayai digunakan suspek.
Siasatan mendapati suspek yang ditahan berusia 20 tahun.
“Bapanya berusia 54 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Kita menahan reman kedua-dua suspek selama enam hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis masih memburu saki baki individu yang terbabit dalam pergaduhan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan,” katanya.-myMetro
7 gambar mangsa cedera ditetak di bawah:
ADS HERE !!!