Microsoft hari ini melalui sebuah acara khas di Amerika Syarikat telah mengumumkan kemaskini kepada keluarga sistem operasi Windows. Nama baru untuk sistem operasi mereka adalah Windows 10.
Windows 10 dilihat akan selari dengan pelbagai jenis peranti – daripada telefon pintar, tablet, komputer riba, desktop dan sebagainya. Dengan Windows 10 juga, pihak Microsoft akan memfokuskan kepada satu keluarga produk dibawah satu platform, dan menggunakan satu kedai aplikasi yang sama. Menurut Microsoft, Windows 10 akan menyokong saiz skrin dari 4-inci sehinggalah 80-inci- dan akan turut menggantikan Windows Phone selepas ini.
Windows 10 dilihat akan membawakan pelbagai perubahan baru jikalau dibandingkan dengan Windows 8.1 sebelum ini. Antaranya termasuklah sokongan menu Start yang diintegrasikan dengan Live Tiles, lebih fokus terhadap pengguna desktop, kebolehan menjalankan aplikasi ModernUI dengan tetingkapnya tersendiri, serta sokongan desktop maya.
Selain pengguna desktop, pihak Microsoft turut mengekalkan ciri-ciri mesra sentuh, seperti sokongan Charm Bar, dan paparan saiz butang yang lebih besar untuk pengguna skrin sentuh. Terdapat mod khusus yang berubah mengikut penggunaan jenis peranti – sama ada menyokong skrin sentuh ataupun sebaliknya.
Pihak Microsoft turut menekankan yang mana Windows 10 akan selari dengan pelbagai perisian perusahaan tradisional, sekaligus memudahkan mereka untuk beralih ke sistem operasi baru tanpa risau akan ketidak-serasian.
Windows 10 akan dilancarkan secara rasminya pada tahun 2015 kelak, dan pihak Microsoft dijangka akan berkongsi lebih banyak mengenai aplikasi universal untuk pelbagai saiz peranti pada bulan April tahun hadapan.
Untuk pengguna yang ingin mencubanya, pihak Microsoft dijangka akan menawarkan versi Technical Preview untuk komputer riba dan desktop bermula esok.